Tuesday, May 4, 2010

RENCANA

Profesional minta layanan istimewa?

USAHA kerajaan Malaysia untuk melahirkan sumber insan yang cerdik lagi pintar demi mengisi keperluan negara nampaknya berhadapan dengan cabaran 'dicuri' oleh negara-negara kaya atas nama 'persaingan.'


Bersusah payah negara kita menyediakan bajet untuk pendidikan dan kemudahan pengajian bidang-bidang ilmu kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan ekonomi, tetapi atas faktor kewangan, ramai didikan kita lari membawa ilmu ke luar negara. Apa dah jadi?


Masalah pengaliran keluar cerdik pandai tempatan ke negara lain bukan perkara kecil. Kerajaan banyak kali berusaha untuk 'menahan' ahli profesional yang pintar daripada meninggalkan Malaysia, begitu juga 'merayu' golongan cerdik pandai yang berjaya di luar negara supaya pulang berkhidmat dan berbakti di tanah air sendiri.


Tetapi sekatan dan rayuan yang dibuat bagaikan tiada kesan. Sebaliknya bilangan profesional meninggalkan negara ini semakin bertambah. Sekatan macamana tu?


Kenyataan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin bahawa semakin ramai siswazah perubatannya ditawarkan berkhidmat di hospital Singapura pasti merugikan negara yang mengeluarkan peruntukan besar membiayai mereka di universiti awam.

Menurut Sharifah Hapsah, tahun ini sahaja seramai 20 orang telah berbuat demikian dan dijangkakan 80 lagi akan mengikuti jejak kumpulan itu.


Sebenarnya bukan golongan doktor tempatan sahaja bertindak meninggalkan negara ini, malah bidang-bidang lain pun serupa.


Kalau mengikut statistik yang dikumpul oleh Gabungan Persatuan Perniagaan Cina, cerdik pandai yang lari ke negara lain sudah mencecah 800,000 orang. Selain itu, dalam masa dua tahun lalu, seramai 400,000 orang berhijrah ke luar negara. Jika angka itu benar dan masalah ini terus berlarutan, ekonomi negara dan sumber tenaga manusia Malaysia akan terjejas.


Negara kita perlu mencari strategi untuk menghalang golongan cerdik pandai daripada berhijrah ke negara kaya dan maju.